Friday, April 08, 2011

Kesatuan kastam mesyuarat bincang kematian Sarbani


Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPSM) akan mengadakan satu mesyuarat tergempar ekoran kematian salah seorang anggotanya ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seorang pengerusi cawangan kesatuan itu, Ja'apar Mansor berkata mesyuarat itu juga antara lainnya akan membincangkan faktor keselamatan anggotanya ketika mengikuti siasatan SPRM.

"Kita akan bincangkan dan lihat apa pandangan anggota exco dalam mesyuarat," kata Ja'apar yang merupakan pengerusi KPKSM Cawangan Kuala Lumpur.

Katanya, mesyuarat itu diadakan ekoran insiden melibatkan seorang pegawai kanan kastam, Ahmad Sarbani Mohamed semalam ketika berada di sebuah premis SPRM.

Ahmad Sarbani ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan suruhanjaya itu di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pagi semalam.

Pembantu pengarah di pejabat JKDM Selangor itu berada di pejabat SPRM berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Mengulas lanjut, Ja'apar berkata mesyuarat berkenaan akan turut disertai oleh pemimpin Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Mesyuarat berkenaan akan diadakan esok di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya.

No comments:

Post a Comment

Twitter Facebook Feed